fb fb fb fb fb

Gunung berapi di Mexico semakin aktif, sekolah ditutup

(Gunung berapi Popocatepetl yang memuntahkan abu dan asap kelihatan dari Puebal, Mexico/ REUTERS)

BANDAR MEXICO, 19 Mei- Pihak berkuasa Mexico menutup sekolah di 22 buah bandar, membabitkan lebih 100,000 pelajar semalam ekoran gunung berapi aktif berhampiran ibu kota.

Letusan terbaru yang memuntahkan lebih banyak abu panas, asap dan debu dikhuatiri menjejaskan kesihatan, mendorong penutupan sekolah.

Menurut pegawai di Puebla, sesi pembelajaran di sekolah awam dan swasta di 22 buah bandar itu ditangguhkan susulan letusan pada skala kecil, namun kuat dari gunung berapi Popocatepetl yang dilitupi salji.

Sepanjang tempoh penutupan sekolah itu, semua sesi pembelajaran akan dijalankan secara dalam talian.

Sekolah di ibu negeri bagaimanapun tetap dibuka, namun penduduk tempatan diminta mengelakkan aktiviti luar.

Kesan letusan itu, yang mengeluarkan debu dan gas berisiko memudaratkan kesihatan jika terhidu, dan jika keadaan bertambah buruk, penduduk akan diarah berpindah.

Popocatepetl, yang bermaksud 'Bukit Berasap' dalam bahasa Aztec, Nahuatl, ialah salah satu gunung berapi yang dipantau paling rapi di dunia.

Ia terletak hanya kira-kira 72 kilometer (km) di barat daya bandar Mexico, yang menempatkan kira-kira sembilan hingga sekitar 22 juta penduduk termasuk di kawasan metropolitan.

Imej yang dikongsi di media sosial, menunjukkan orang ramai di Puebla memakai pelitup muka sebagai langkah penjagaan diri.

Pusat pencegahan bencana Mexico, Cenapred, meletakkan status amaran gunung berapi itu berada pada tahap sederhana.

Cenapred melaporkan, sebanyak 154 aktiviti pengeluaran debu dan gas dari Popocatepetl dicatatkan dalam tempoh 24 jam, rentetan letusan kecil dan gempa bumi tektonik gunung berapi.

Popocatepetl ialah gunung berapi kedua tertinggi di Mexico pada ketinggian 5,550 meter. - REUTERS


(FOTO FAIL/ REUTERS)

Media Baharu