fb fb fb fb fb

Kebakaran di hospital Beijing ragut 21 nyawa, siasatan menyeluruh dijalankan

(Foto AFP)

BEIJING, 19 April- Siasatan menyeluruh sedang dijalankan selepas kejadian kebakaran di Hospital Changfeng, di sini, yang mengorbankan 21 orang.

Kebakaran yang bermula di bangunan jabatan pesakit itu menyebabkan 71 orang dipindahkan ke lokasi lain.

Tiada butiran lanjut mengenai jumlah kecederaan dalam kebakaran itu atau keadaan mangsa.

Menurut Beijing Daily, pegawai atasan yang melawat hospital sejurus selepas kebakaran, bersama Setiausaha Parti Beijing, Yin Li berikrar mengenal pasti dengan segera punca kemalangan.

Sementara itu, AFP dalam laporannya hari ini melihat puluhan orang berada di luar pintu masuk hospital dan sejumlah besar pegawai polis ditempatkan bagi menghalang mereka merakam gambar.

(Orang ramai berkumpul di luar Hospital Changfeng di Beijing pada
19 April 2023, selepas kebakaran berlaku sehari sebelumnya/Foto AFP)

China Youth Daily dalam laporan berasingan pada Rabu memberitahu, ramai ahli keluarga terputus hubungan dengan pesakit, kebanyakannya orang tua dengan masalah mobiliti.

Hospital Beijing Changfeng terletak dalam kawasan bandar barat ibu kota, mengambil masa kira-kira 25 minit perjalanan dengan kereta dari Dataran Tiananmen.

Kebakaran maut merupakan perkara biasa di China disebabkan oleh piawaian keselamatan dan penguat kuasaan yang lemah.

Sepuluh orang maut dalam kebakaran blok apartmen di Xinjiang barat laut China pada November, mencetuskan protes terhadap penutupan COVID-19 yang dipersalahkan kerana menghalang usaha menyelamat.

Manakala 38 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah kilang di tengah China, juga pada November, dengan pihak berkuasa menyalahkan pekerja untuk mengimpal secara haram.-AFP

Media Baharu