(FOTO AFP)
MADRID, 5 Julai- Kebakaran hutan di pantai Mediterranean Sepanyol berhampiran sempadan Perancis merebak dengan pantas mengelilingi tapak pelancongan popular berikutan angin kencang.
Kebakaran di kawasan Portbou meliputi kawasan sekitar 200 hektar dalam masa tiga jam dan boleh merebak lebih 400 hektar, menurut kerajaan wilayah Catalonia dalam satu kenyataan.
Perkhidmatan bomba Catalan telah mengarahkan orang ramai supaya tidak meninggalkan kampung Colera dan tapak perkhemahan di Sant Miquel.
Kebakaran sukar dipadamkan kerana melibatkan kawasan pergunungan, kata anggota bomba kanan Santi Lleonart.
Angin kencang membuat operasi lebih sukar dan api yang semakin marak boleh merebak lebih jauh, manakala anggota bomba belum sampai ke kawasan terpencil yang sedang terbakar, tambahnya.
Portbou, berhampiran sempadan Franco-Sepanyol, juga mempunyai stesen kereta api utama yang digunakan oleh rangkaian kedua-dua negara.
Jalan menuju lokasi itu telah ditutup kepada kenderaan persendirian bagi memudahkan pergerakan anggota bomba menangani kebakaran.
Kira-kira 230 anggota bomba dari Sepanyol dan Perancis yang disokong oleh pesawat sedang memadamkan kebakaran.
Tetapi pesawat pengebom air Perancis yang dihantar ke zon itu setakat ini tidak dapat beroperasi kerana angin kencang.
Agensi meteorologi Sepanyol, Aemet melaporkan bahawa angin di kawasan terbabit merekodkan kelajuan sehingga 50 kilometer sejam. -AFP
(Kebakaran berhampiran sempadan Sepanyol dengan Perancis merebak dengan pantas/AFP)