SRINAGAR, 6 Mei - Industri pelancongan Kashmir di kedua-dua belah India dan Pakistan dijangka lumpuh selepas ketegangan antara kedua-dua negara meningkat berikutan serangan maut yang meragut 26 nyawa pelancong bulan lalu.
Hotel dan rumah bot di Srinagar menawarkan diskaun sehingga 70 peratus selepas ramai pelancong membatalkan tempahan dan meninggalkan kawasan itu.
Di Pakistan, kawasan peranginan popular seperti Pir Chinasi dan Lembah Neelum telah ditutup atas faktor keselamatan.
Yaseen Tuman, pengusaha pelancongan di Srinagar, memaklumkan semua tempahan rumah bot telah dibatalkan.
“Rumah bot kami penuh, kini kosong sepenuhnya,” katanya. Laman sesawang tempahan turut menunjukkan potongan harga besar, namun Tuman enggan menurunkan harga kerana tidak menjangkakan pelancong kembali dalam masa terdekat.
Di pihak Pakistan, jurucakap persatuan hotel Lembah Neelum, Abrar Ahmad Butt, mengesahkan kesemua 370 hotel dan rumah tumpangan kini kosong. "Ia akan memberi kesan buruk musim ini," katanya, sambil memaklumkan sektor itu menyediakan pekerjaan kepada 16,000 orang.
Insiden itu berlaku selepas empat tahun kestabilan yang menyaksikan ledakan pelancongan, lebih 3 juta pelawat ke Kashmir India dan 1.5 juta ke Kashmir Pakistan pada tahun lalu.
India menuduh Pakistan bertanggungjawab atas serangan itu dan mengambil langkah diplomatik serta ekonomi terhadap jirannya. Pakistan menafikan penglibatan dan memberi amaran kemungkinan serangan balas.
Pemandu teksi di Srinagar, Tanveer, turut meluahkan rasa kecewa. “Sebelum serangan, jalan-jalan sesak dan saya tidak menang tangan. Kini saya menunggu penumpang sepanjang hari,” katanya.
Penduduk di kedua-dua pihak menyeru keamanan demi kelangsungan ekonomi dan sektor pelancongan. “Kita harus ada keamanan di negara ini supaya kita boleh makmur,” kata Musaddiq Hussain, peniaga di Pir Chinasi.-REUTERS