VATICAN CITY, 7 Mei- Kardinal Joseph Tobin, 72, yang kini memegang jawatan Archbishop Newark, New Jersey, disebut-sebut sebagai antara nama berpotensi meskipun peluang untuk dunia menyaksikan paus pertama dari Amerika Syarikat dilihat tipis.
Tobin, anak jati Detroit yang juga bekas ketua global bagi Order Redemptorist, mempunyai pengalaman luas di pentas antarabangsa dan bertutur fasih dalam bahasa Itali, Sepanyol, Perancis serta Portugis.
Beliau turut mempunyai rekod perkhidmatan di Vatican dan memegang beberapa jawatan tertinggi dalam gereja Katolik Amerika Syarikat.
Pernah berkhidmat sebagai orang nombor dua di sebuah pejabat Vatican antara 2009 hingga 2012, Tobin dilantik sebagai Archbishop Indianapolis oleh Paus Benedict sebelum dinaikkan pangkat sebagai kardinal oleh Paus Francis pada 2016 dan kemudiannya dipindahkan ke Newark.
Di Newark, Tobin yang terkenal dengan fizikal tegap hasil rutin senaman angkat berat berdepan salah satu skandal gereja Katolik yang mendapat perhatian dunia. Pada 2018, bekas Archbishop Newark, Theodore McCarrick, dilucutkan jawatan susulan dakwaan salah laku seksual terhadap para seminarian.
McCarrick, yang menafikan semua tuduhan, meletak jawatan sebagai kardinal dan kemudiannya disabitkan bersalah oleh tribunal Vatican serta dilucutkan daripada imamat (priesthood).
Tobin dipuji kerana ketelusannya dalam menguruskan skandal tersebut termasuk mendedahkan perjanjian penyelesaian sulit antara keuskupan agung dan mangsa-mangsa yang membuat tuntutan.
Anak sulung daripada 13 adik-beradik, Tobin juga secara terbuka mengakui dirinya seorang yang pernah bergelut dengan ketagihan alkohol selain dikenali dengan pendekatan terbuka terhadap komuniti LGBT.-REUTERS