fb fb fb fb fb

Kapal layar mewah terbakar di St Tropez

Foto AFP

MARSEILLE, 11 Julai -Sebuah kapal layar mewah sepanjang 41 meter (135 kaki) terbakar di St Tropez pada Khamis di pelabuhan Perancis yang kini dipenuhi golongan kaya dan ternama sempena musim panas.

Pasukan bomba telah memasang penghadang antipencemaran di sekeliling Sea Lady II, sebuah kapal layar sewaan yang disewa lebih daripada AS$ 90,000 seminggu.

Dua jam selepas kebakaran bermula, anggota bomba memaklumkan mereka menghadapi kesukaran untuk naik ke atas kapal, disebabkan api yang marak.

"Kapal-kapal berdekatan segera dialihkan dan kami telah memasang penghadang antipencemaran," kata jurucakap bomba kepada AFP.

Jurucakap berkenaan turut berkata bahawa kapal tersebut "berkemungkinan besar" akan tenggelam di pelabuhan.

Kapal layar itu dibina pada tahun 1986 dan telah menjalani pengubahsuaian kali terakhir pada 2024.

Ia mempunyai lapan kru dan boleh menampung 10 penumpang. Lima kabin di atas kapal masing-masing dilengkapi dengan bilik air peribadi, menurut laman web Charterlink, salah satu agensi yang menawarkannya untuk disewa.

Kapal-kapal layar mewah dari seluruh dunia kini mula berlabuh di St Tropez dan pelabuhan-pelabuhan berhampiran di Perancis serta Itali sempena percutian musim panas, dengan ratusan juta dolar nilai kapal dipamerkan di sepanjang pantai Mediterranean. -AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD