fb fb fb fb fb

Presiden Perancis desak dunia iktiraf negara Palestin

Foto REUTERS

NORTHWOOD, 11 Julai -Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengiktiraf negara Palestin, sambil menyifatkan langkah itu sebagai “satu-satunya harapan untuk mencapai keamanan” di rantau yang bergolak.

Macron menegaskan komitmennya untuk memulakan satu gerakan politik ke arah pengiktirafan rasmi terhadap negara Palestin.

"Keutamaan mutlak kini adalah untuk menamatkan penderitaan tebusan dan penduduk Gaza. Perang yang berlarutan tanpa hala tuju strategik hanya membawa ancaman besar kepada rantau ini dan keselamatan bersama kita.

"Ketika ini, kita sedang menyaksikan satu bentuk penyahmanusiaan yang langsung tidak dapat diterima. Kita semua faham perlunya sebuah penyelesaian politik.

"Saya percaya masa depan penyelesaian Israel-Palestin, merupakan asas kepada struktur keselamatan serantau.

"Justeru, penting untuk kita menyatukan suara, sama ada di Paris, London mahupun tempat lain bagi mengiktiraf negara Palestin dan memulakan proses politik ini yang menjadi satu-satunya jalan ke arah kedamaian," katanya.

Macron berkata demikian dalam sidang media bersama Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, sempena dengan lawatan negara tiga hari beliau ke United Kingdom. -AFP 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM