NEW YORK, 25 November- Bilangan kanak-kanak di Haiti yang direkrut oleh kumpulan bersenjata meningkat sebanyak 70 peratus tahun lalu.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata peningkatan ketara direkodkan antara suku kedua 2023 hingga 2024.
"Ini mencerminkan krisis perlindungan yang semakin buruk bagi kanak-kanak di pulau Caribbean yang dilanda keganasan," kata UNICEF dalam satu kenyataan.
"Kini, sehingga separuh daripada semua anggota kumpulan bersenjata adalah kanak-kanak.
Haiti mengalami ketidakstabilan politik selama beberapa dekad. Beberapa bulan kebelakangan ini menyaksikan lonjakan keganasan apabila kumpulan kongsi gelap menguasai 80 peratus kawasan ibu kota, Port-au-Prince.
"Peningkatan pengambilan kanak-kanak ini didorong oleh keganasan yang berleluasa, kemiskinan, kekurangan peluang pendidikan serta keruntuhan infrastruktur kritikal", menurut kenyataan itu.
"Kanak-kanak di Haiti terjerumus dalam keganasan serta direkrut oleh kumpulan bersenjata yang mendesak mereka dan bilangannya terus meningkat," kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell.
"Trend yang tidak boleh diterima ini mesti dihentikan dengan memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak menjadi keutamaan semua pihak", katanya.-AFP