LONDON, 25 November- Angin kencang dan hujan lebat akibat taufan Bert mengakibatkan banjir besar di beberapa kawasan di Britain termasuk Wales, dengan kira-kira 100 amaran banjir dikeluarkan di seluruh negara itu.
Di daerah Rhondda Cynon Taf di selatan Wales, kira-kira 200 hingga 300 buah rumah dan bangunan, ditenggelami air memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan bencana besar di kawasan tersebut, kata seorang ahli Majlis Tempatan.
"Satu mayat ditemui berhampiran sungai Conwy selepas operasi pencarian dilakukan sebaik sahaja laporan seorang lelaki berusia 75 tahun dikhuatiri hilang, selepas keluar untuk berjalan-jalan dengan anjingnya pada Sabtu," kata polis Wales.
Identiti mangsa bagaimanapun belum dapat dikenal pasti.
Sekurang-kurangnya tiga kematian turut dilaporkan akibat kemalangan jalan raya di Britain.
Bagaimanapun, punca nahas belum dapat dipastikan sama ada disebabkan oleh cuaca ekstrem tersebut atau tidak.
Mereka yang maut termasuk seorang mangsa berusia dalam lingkungan 60 tahun selepas sebatang dahan jatuh menimpa keretanya di daerah Hampshire.
Perdana Menteri, Eluned Morgan mengakui banjir yang berlaku mengakibatkan kemusnahan besar di daerah berkenaan yang menerima taburan hujan 80 peratus daripada biasa dalam tempoh 48 jam lalu.
Taufan Bert melanda Britain dan Ireland sepanjang malam Sabtu hingga Ahad, dengan angin kencang, hujan lebat, dan salji menjejaskan sistem pengangkutan serta menyebabkan ribuan isi rumah terputus bekalan elektrik.
Kira-kira 100 amaran banjir dikeluarkan hingga Ahad di England, Scotland, dan Wales, dengan jalan-jalan raya ditutup dan perkhidmatan kereta api, dibatalkan.
"Amaran berjaga-jaga pada tahap tinggi turut dikeluarkan di South West, West Midlands dan Calder Valley di utara England akibat hujan lebat dan salji yang mencair," kata Jurucakap agensi alam sekitar.
Bert membawa kekuatan angin sehingga 110 kilometer sejam dengan beberapa taman dan tarikan pelancong di London ditutup semalam.