fb fb fb fb fb

Kanada usir diplomat India

(FOTO REUTERS)

OTTAWA, 19 September - Kanada mengusir seorang diplomat India yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang pemimpin Sikh, di Vancouver, Jun lalu.

Perdana Menteri, Justin Trudeau memaklumkan pada sesi tergempar Parlimen bahawa kerajaan mempunyai "dakwaan boleh dipercayai" yang mengaitkan ejen India dengan pembunuhan seorang pemimpin Sikh dalam buangan, Hardeep Singh Nijjar, pada bulan Jun di British Columbia.

"Penglibatan mana-mana kerajaan asing dalam pembunuhan warga Kanada di bumi Kanada adalah pelanggaran kedaulatan kami yang tidak boleh diterima," kata Trudeau.

(FOTO REUTERS)

Beliau menyeru dengan nada yang keras agar kerajaan India bekerjasama dalam menyelesaikan perkara itu.

Menteri Luar, Melanie Jolie berkata kerajaan Trudeau telah mengambil tindakan segera.

"Kami telah mengusir seorang diplomat kanan India dari Kanada," katanya, tanpa menamakan pegawai itu.

Jolie berkata, warga India yang diusir itu adalah ketua Sayap Penyelidikan dan Analisis (RAW), agensi perisikan asing India, di Kanada.

Nijjar, yang diisytiharkan oleh India sebagai pengganas dikehendaki, telah ditembak mati pada 18 Jun di Surrey, pinggir bandar Vancouver yang menempatkan komuniti Sikh yang besar.-AFP

Media Baharu