SYDNEY, 19 September - Biro cuaca Australia pada Selasa mengesahkan pembentukan corak cuaca El Nino sedang berlaku dan membawa kepada keadaan panas dan kering berkemungkinan akan meningkatkan kebakaran belukar dan kemarau yang lebih tinggi.
Ketua Iklim Biro, Karl Braganza berkata suhu permukaan yang tinggi di Lautan Pasifik boleh memberi kesan kepada negara sehingga awal tahun depan.
Braganza berkata corak El Nino akan terus memanaskan lautan di planet ini, yang "berada dalam rekod suhu sejak April".
"Musim panas ini akan menjadi lebih panas daripada purata dan sudah tentu lebih panas daripada tiga tahun lepas," katanya.
"Yang penting dengan El Nino kini menetap di dalam corak itu di Lautan Pasifik, itu meningkatkan keyakinan kami bahawa corak ini akan bertahan sehingga penghujung musim panas," tambahnya.
Corak iklim El Nino berlaku secara purata setiap dua hingga tujuh tahun dan lazimnya berlarutan antara sembilan hingga 12 bulan.
Pada Julai lalu, Pertubuhan Meteorologi Sedunia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan kemungkinan kejadian El Nino akan berterusan pada separuh kedua 2023.-AFP