fb fb fb fb fb

Kanada: Parti sekutu usul undi tidak percaya, Trudeau bakal hilang kuasa

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau / Foto REUTERS

OTTAWA, 21 Disember-Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, dijangka kehilangan kuasa seawal tahun depan selepas sekutu utamanya mengumumkan rancangan untuk menggulingkan kerajaan minoriti Liberal dan mencetuskan pilihan raya.

Jagmeet Singh, pemimpin Parti Demokrat Baru (NDP) yang telah membantu mengekalkan Trudeau di jawatan, berkata beliau akan mengemukakan usul undi tidak percaya secara rasmi selepas Dewan Rakyat negara tersebut kembali bersidang pada 27 Januari.

Jika semua parti pembangkang menyokong usul tersebut, Trudeau akan disingkirkan selepas lebih sembilan tahun sebagai Perdana Menteri, dan pilihan raya akan diadakan.

Beberapa tinjauan pendapat sejak 18 bulan lalu menunjukkan Parti Liberal mengalami penurunan sokongan disebabkan kemarahan pengundi terhadap krisis perumahan yang melambung tinggi.

Parti Konservatif yang berhaluan kanan dijangka menang besar.

NDP, yang turut menyasarkan sokongan pengundi berhaluan tengah-kiri, menuduh Trudeau terlalu tunduk kepada kepentingan perniagaan besar.

“Tidak kira siapa yang memimpin Parti Liberal, masa untuk kerajaan ini sudah tamat. Kami akan membentangkan usul tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat yang akan datang,” kata Singh.

Sementara itu, Pemimpin pembangkang terbesar,Parti Bloc Quebecois berjanji akan menyokong usul tersebut dan menyatakan Trudeau tidak mempunyai peluang untuk kekal berkuasa.

Parti Konservatif pula merancang meminta Gabenor Jeneral Mary Simon, wakil rasmi Raja Charles, ketua negara Kanada untuk memanggil Parlimen mengadakan undi tidak percaya sebelum akhir tahun.

Bagaimanapun, Pakar Perlembagaan menjangka Simon akan menolak permintaan itu.

“Kita tidak boleh membiarkan kerajaan dipimpin secara kacau-bilau dan meleset.

"Jelas bahawa Justin Trudeau telah kehilangan kepercayaan Parlimen,” kata ketua Konservatif, Pierre Poilievre.

Trudeau menghadapi tekanan selepas peletakan jawatan mengejut menteri kewangan minggu ini. Bagaimanapun, selepas pengumuman Singh, Trudeau yang tersenyum menghadiri rombakan kabinet tanpa memberi sebarang komen.

Trudeau juga membatalkan temu bual akhir tahun bersama media utama dan mengelak bercakap tentang peletakan jawatan Chrystia Freeland, bekas menteri kewangan.

Undi untuk belanjawan dan perbelanjaan lain dianggap sebagai ujian kepercayaan.

Parti pembangkang juga boleh menggunakan beberapa hari khas dalam sesi Parlimen untuk membentangkan usul termasuk undi tidak percaya.

Langkah Singh membawa risiko politik kerana tinjauan menunjukkan bukan sahaja Liberal akan kalah teruk, tetapi NDP juga menghadapi keputusan yang lemah.

Ketua Pegawai Eksekutif firma tinjauan Ipsos-Reid, berkata Singh melihat peluang untuk menggantikan Liberal sebagai pilihan utama pengundi yang menentang Konservatif.

“Menunggu dan memberi peluang kepada Liberal dan Trudeau untuk pulih adalah tindakan yang tidak bijak,” katanya melalui e-mel.

Sebelum pengumuman Singh, sumber yang rapat dengan Trudeau berkata perdana menteri itu akan menggunakan cuti Krismas untuk memikirkan masa depannya dan mungkin tidak akan membuat keputusan sebelum Januari.

Pemimpin Parti Liberal dipilih melalui konvensyen khas yang memerlukan beberapa bulan untuk diatur. Langkah Singh untuk bertindak pantas bermakna jika Trudeau berundur sekarang, Liberal tidak dapat mencari pemimpin tetap sebelum pilihan raya dan terpaksa bertanding di bawah pemimpin sementara, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah Kanada.

Krisis berkenaan berlaku pada masa kritikal, kerana Presiden A.S. yang baru dipilih, Donald Trump, dijangka memegang jawatan pada 20 Januari dan merancang mengenakan tarif 25% ke atas semua import dari Kanada.

Langkah tersebut akan memberi kesan besar kepada ekonomi Kanada.

Perdana menteri dari 10 wilayah di Kanada sedang berusaha untuk membentuk pendekatan bersatu terhadap tarif tersebut tetapi mengadu tentang apa yang mereka panggil sebagai kekacauan di Ottawa.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD