DUBAI, 21 Disember-Pasukan Rapid Support Forces (RSF) Sudan menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama dengan kerajaan baharu yang dirancang untuk mengawasi wilayah yang dikuasainya.
Tindakan berkenaan dilihat mampu menjerumuskan negera berkenaan ke arah perpecahan negara selepas 20 bulan perang saudara.
RSF telah bertempur dengan tentera kebangsaan sejak April tahun lalu dan kini menguasai kawasan besar di tengah dan barat Sudan, termasuk sebahagian besar ibu negara Khartoum dan wilayah Darfur, pangkalan tradisi mereka.
Sebarang pentadbiran baharu yang memerintah kawasan itu akan menjadi cabaran kepada kerajaan kebangsaan yang diiktiraf antarabangsa dan diketuai tentera.
Kerajaan tersebut terpaksa keluar dari Khartoum tahun lalu dan kini beroperasi di pantai Laut Merah di Pelabuhan Sudan.
Sekumpulan ahli politik awam dan pemimpin kumpulan bersenjata telah bersetuju untuk menubuhkan apa yang mereka gambarkan sebagai "kerajaan damai", menurut anggota kumpulan tersebut kepada Reuters minggu ini.
Mereka berkata kerajaan itu akan diterajui oleh golongan awam, bebas daripada RSF, dan ditubuhkan untuk menggantikan kerajaan di Pelabuhan Sudan yang mereka tuduh memanjangkan perang.
Tiga sumber politik kanan Sudan memberitahu Reuters bahawa RSF telah bekerjasama dengan ahli politik untuk membentuk kerajaan baharu itu.
Namun, RSF dalam kenyataan kepada Reuters pada Ahad berkata mereka tidak mempunyai kaitan langsung dengan kerajaan baharu itu tetapi akan bekerjasama tanpa mengawal pentadbiran yang dirancang.
"Kami dalam RSF hanya akan melaksanakan peranan ketenteraan dan keselamatan, manakala pemerintahan akan dijalankan oleh kuasa awam secara bebas," kata RSF.-REUTERS