fb fb fb fb fb

Kajian baharu anggar bilangan semut ada 20 kuadrilion!

(FOTO AFP)

WASHINGTON, 20 September- Terdapat sekurang-kurangnya 20 kuadrilion semut di bumi, menurut satu kajian baharu yang diterbitkan oleh sebuah jurnal saintifik pada Isnin.

Menentukan populasi global semut adalah penting untuk mengukur kesan perubahan habitat serangga itu termasuk yang disebabkan oleh perubahan iklim.

Umum mungkin memandang rendah jumlah populasi serangga, yang hakikatnya merupakan bahagian penting ekosistem di seluruh dunia.

Semut memainkan peranan penting, menyebarkan benih, menjadi perumah organisma dan berfungsi sama ada sebagai pemangsa atau mangsa.

Beberapa kajian menganggarkan populasi semut global, tetapi mereka menghasilkan jumlah yang jauh lebih kecil daripada 20 kuadrilion, iaitu 20 juta bilion.

Penemuan kajian baharu ini diterbitkan Isnin dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS).

Penyelidik menganalisis 465 kajian yang mengukur bilangan semut secara di lapangan.

Beratus-ratus kajian menggunakan dua teknik piawai iaitu memasang perangkap yang menangkap semut yang lalu lalang dalam tempoh masa tertentu, atau menganalisis bilangan semut pada tompokan daun tertentu di atas tanah.

(FOTO AFP)

Walaupun tinjauan telah dijalankan di semua benua, beberapa wilayah utama mempunyai sedikit atau tiada data, termasuk Afrika tengah dan Asia.

Inilah sebabnya mengapa jumlah sebenar semut di seluruh dunia mungkin jauh lebih tinggi daripada yang dianggarkan, kata kajian itu.

"Adalah amat penting untuk kita mengisi jurang yang tinggal ini untuk mencapai gambaran menyeluruh tentang kepelbagaian serangga." menurut laporan kajian berkenaan.

Terdapat lebih daripada 15,700 spesies yang dinamakan dan subspesies semut yang ditemui di seluruh planet ini, dan mungkin bilangan yang sama yang masih belum diterangkan.

Namun hampir dua pertiga daripadanya hanya terdapat dalam dua jenis ekosistem iaitu hutan tropika dan sabana.

Berdasarkan anggaran bilangan semut, jumlah biojisim global mereka dianggap 12 megaton karbon kering, lebih banyak daripada gabungan burung liar dan mamalia, dan 20 peratus daripada manusia.

Pada masa hadapan, penyelidik merancang untuk mengkaji faktor persekitaran yang mempengaruhi kepadatan populasi makhluk kecil itu.-AFP

Media Baharu