fb fb fb fb fb

Jumlah kanak-kanak Gaza alami kekurangan zat akut masih ‘kritikal’ – PBB

Foto REUTERS

GENEVA, 9 Disember – Ribuan kanak-kanak di Gaza yang menerima rawatan akibat kekurangan zat makanan akut sejak perjanjian gencatan senjata Oktober lalu, masih dalam fasa 'amat membimbangkan' meskipun perjanjian itu sepatutnya membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan secara besar-besaran.

Menurut kenyataan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF), iaitu penyedia utama rawatan kekurangan zat makanan di Gaza, seramai 9,300 kanak-kanak dirawat kerana kekurangan zat makanan akut teruk pada Oktober, ketika fasa pertama perjanjian menamatkan serangan berterusan Israel ke atas Gaza mula berkuat kuasa.

Walaupun angka itu menurun berbanding kemuncak lebih 14,000 kes pada Ogos, jumlah tersebut masih jauh lebih tinggi berbanding semasa gencatan senjata singkat Februari hingga Mac, menyaksikan aliran bantuan masih tidak mencukupi.

"Ia masih satu angka yang amat mengejutkan dengan jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan, adalah lima kali ganda lebih tinggi berbanding Februari. Kita perlu melihat penurunan lebih besar," kata jurucakap UNICEF, Tess Ingram menerusi sidang media di Geneva melalui pautan video dari Gaza.

Ingram turut menggambarkan keadaan bayi kekurangan berat badan yang lahir dengan berat kurang 1 kilogram di hospital, dengan “tubuh kecil mereka berusaha keras untuk terus hidup”.

Menurutnya, UNICEF kini mampu membawa masuk lebih banyak bantuan berbanding sebelum perjanjian 10 Oktober, namun pelbagai halangan masih wujud termasuk kelewatan, penolakan kargo di lintasan, penutupan laluan serta isu keselamatan yang berterusan.

“Kita dapat melihat sedikit peningkatan, tetapi UNICEF terus menyeru semua lintasan ke Semenanjung Gaza dibuka sepenuhnya,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan bekalan komersial masih tidak mencukupi, dengan harga daging mencecah kira-kira AS$20 sekilogram, yang terlalu mahal bagi kebanyakan keluarga.

“Kebanyakan keluarga tidak mampu membelinya, dan inilah sebab kadar kekurangan zat makanan masih tinggi,” ujarnya.

Pada Ogos lalu, pemantau kelaparan disokong PBB menentukan bahawa keadaan kebuluran menjejaskan kira-kira setengah juta penduduk, atau satu perempat populasi Gaza.

Kanak-kanak dilaporkan antara golongan paling terkesan sepanjang konflik, dengan pakar memberi amaran bahawa kesannya boleh menyebabkan kerosakan jangka panjang.- REUTERS

EZA YUSMAWATI YAACOP