fb fb fb fb fb

Jordan tawar sokongan kepada Syria

Foto Reuters

DAMSYIK, 23 Disember – Jordan bersedia untuk membantu Syria dalam usaha pembinaan semula, kata Menteri Luar Jordan, Ayman al-Safadi, selepas bertemu dengan pemimpin utama Syria yang baharu, Ahmed al-Sharaa, di Damsyik pada Isnin.

Ini merupakan hubungan tertinggi yang diadakan oleh negara Arab dengan pentadbiran baharu yang dipimpin kumpulan penentang di Syria.

Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Qatar, Mohammed Al-Khulaifi, turut tiba di Damsyik pada Isnin untuk mengadakan pertemuan selepas penerbangan pertama Qatar Airways mendarat di ibu negara Syria sejak kejatuhan Presiden Bashar al-Assad, menurut jurucakap Kementerian Luar Qatar di X.

Pertemuan itu memperluas hubungan diplomatik pentadbiran baharu yang dibentuk selepas kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang dipimpin Sharaa, bekas sekutu Al-Qaeda, memimpin serangan penetang kerajaan yang menggulingkan Assad selepas lebih 13 tahun perang.

Kejatuhan pemerintahan Assad telah merubah geopolitik Asia Barat, memberi tamparan besar kepada sekutunya Iran, dan membuka jalan bagi negara-negara lain untuk membina hubungan baharu dengan negara yang terletak di persimpangan kawasan tersebut.

Turkiye, yang sebelum ini menyokong pembangkang Syria, menjadi negara pertama yang menghantar menteri luar negaranya ke Damsyik.

"Perbincangan kami jelas bahawa kami di Kerajaan bersedia memberikan sokongan," kata Safadi selepas pertemuan itu.

Beliau menambah bahawa pentadbiran baru Syria harus diberi peluang untuk membangunkan rancangan mereka, dengan fokus utama pada usaha pembinaan semula yang akan disokong oleh Jordan.

Kestabilan Syria merupakan keprihatinan keselamatan utama bagi Jordan, sebuah negara Arab yang bersekutu dengan AS dan bersempadan dengan Syria di selatan.

Safadi berkata beliau bersetuju dengan Sharaa untuk bekerjasama dalam menangani penyeludupan dadah dan senjata dari Syria ke Jordan, masalah yang telah wujud sejak era pemerintahan Assad.

Safadi turut menyatakan bahawa ancaman kumpulan Negara Islam (IS), yang sebelum ini bertelagah dengan kumpulan Sharaa semasa perang Syria, masih berterusan.

"Saudara-saudara kami di Syria juga menyedari bahawa ini adalah ancaman.

InsyaAllah, kita semua akan bekerjasama, bukan hanya Jordan dan Syria, tetapi semua negara Arab dan masyarakat antarabangsa, dalam memerangi wabak ini yang mengancam semua pihak," katanya.

Tiada kenyataan segera daripada pihak Syria mengenai pertemuan tersebut.

Sharaa, yang bertemu dengan diplomat kanan AS minggu lepas, telah memutuskan hubungan dengan Al-Qaeda pada 2016.

Beliau menyatakan bahawa fokus utamanya adalah pada pembinaan semula dan pencapaian pembangunan ekonomi, dan tidak berminat untuk terlibat dalam konflik baru.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN