COPENHAGEN, 23 Disember - Greenland tidak untuk dijual, tegas Perdana Menteri Greenland, Mute Egede, sebagai respons kepada kenyataan Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Donald Trump, mengenai "pemilikan dan kawalan" ke atas pulau Artik itu yang telah menjadi sebahagian daripada Denmark selama lebih 600 tahun.
"Greenland adalah milik kami. Kami tidak untuk dijual dan tidak akan pernah dijual. Kami tidak boleh kehilangan perjuangan panjang kami untuk kebebasan," ujar Egede dalam kenyataan bertulisnya pada Isnin.
Trump pada Ahad mengumumkan pelantikan Ken Howery, bekas duta ke Sweden, sebagai duta ke Copenhagen dan memberi komen mengenai status Greenland.
Pulau tersebut merupakan wilayah separa autonomi Denmark dan lokasi pangkalan Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) yang strategik.
"Demi keselamatan nasional dan kebebasan di seluruh dunia, Amerika Syarikat merasakan bahawa pemilikan dan kawalan terhadap Greenland adalah satu keperluan mutlak," tulis Trump di Truth Social.
Bagaimanapun, Trump, yang bakal mengangkat sumpah pada 20 Januari, tidak memberikan butiran lanjut.
Kerajaan Denmark juga belum memberikan kenyataan balas.
Greenland, yang menjadi lokasi pangkalan udara Pituffik, memainkan peranan penting dalam ketenteraan AS, termasuk sebagai sebahagian sistem amaran awal peluru berpandu balistik.
Laluan terpendek dari Eropah ke Amerika Utara turut melalui pulau tersebut.
Pada 2019, semasa tempoh pertama beliau sebagai Presiden, Trump pernah menyatakan minat untuk membeli Greenland.
Namun, cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh Denmark dan pihak berkuasa Greenland sebelum perbincangan rasmi dapat diadakan.
Perdana Menteri Denmark ketika itu, Mette Frederiksen, menyifatkan idea Trump sebagai "tidak masuk akal."
Kenyataan Frederiksen mencetuskan reaksi keras Trump yang menyifatkan beliau "kasar," sekali gus membatalkan lawatan Trump ke Copenhagen.
Frederiksen kekal sebagai Perdana Menteri Denmark sehingga kini.
Sejak 2009, Greenland memiliki hak untuk mengisytiharkan kemerdekaan daripada Denmark.
Pulau itu dihuni kira-kira 56,000 penduduk dan bergantung kepada pemindahan belanjawan yang besar dari Copenhagen.
Namun, hingga kini, Greenland belum menggunakan hak tersebut.
Dalam perkembangan lain pada Ahad, Trump turut mengancam untuk menegaskan semula kawalan AS ke atas Terusan Panama.
Beliau menuduh Panama mengenakan kadar berlebihan untuk penggunaan laluan itu.
Kenyataan Trump mendapat kecaman keras daripada Presiden Panama, Jose Raul Mulino.-REUTERS