BERLIN, 15 Ogos - Jerman menggesa Israel supaya menghentikan pembinaan penempatan haram di Tebing Barat, susulan kenyataan Menteri Kewangan sayap kanan Israel, Bezalel Smotrich, yang mengumumkan rancangan membina ribuan unit penempatan baharu, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Jurucakap Kementerian Luar Jerman dalam satu kenyataan berkata Berlin menolak sekeras-kerasnya kelulusan Israel untuk membina ribuan unit penempatan baharu.
Jurucakap itu menjelaskan bahawa rancangan membina penempatan haram E1 dan memperluas penempatan Ma'ale Adumim akan lebih menyekat pergerakan penduduk Palestin di Tebing Barat dengan membahagikan kawasan itu kepada dua bahagian dan mengasingkannya daripada Baitulmaqdis Timur.
Jerman berulang kali menegaskan bahawa pembinaan penempatan haram di Tebing Barat melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Jurucakap itu menambah bahawa tindakan sedemikian merumitkan usaha ke arah mencapai penyelesaian dua negara melalui rundingan dan menamatkan pendudukan di Tebing Barat. - BERNAMA