TOKYO, 17 Julai - Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba dijadual menerima kunjungan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent, esok menjelang tarikh akhir yang ditetapkan Washington untuk memuktamadkan rundingan perdagangan dua hala atau berdepan tarif baharu.
Lawatan ini berlangsung ketika Presiden AS, Donald Trump mengulangi amaran untuk mengenakan tarif tambahan sebanyak 25 peratus ke atas keseluruhan import dari Jepun bermula 1 Ogos, sebagai lanjutan kepada tarif sedia ada ke atas sektor automotif, keluli dan aluminium.
Dalam satu wawancara televisyen baru-baru ini, Ishiba menegaskan bahawa Jepun tidak akan berkompromi, serta menyifatkan rundingan yang berlangsung sebagai rumit dan memerlukan masa.
Ketua perunding perdagangan Jepun, Ryosei Akazawa telah melakukan tujuh kunjungan ke Washington sejak April bagi mengadakan pertemuan bersama pegawai kanan AS, termasuk Bessent dalam usaha membatalkan rancangan tarif tersebut.
Namun sehingga kini rundingan belum mencapai kata sepakat, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti perniagaan dan pengguna di Jepun terhadap potensi kesan negatif terhadap ekonomi negara itu. -AFP