fb fb fb fb fb

Hujan luar biasa di Korea Selatan, tiga maut

Pemandangan udara menunjukkan sebuah perkampungan di Yesan, Korea Selatan ditenggelami banjir ekoran hujan lebat berterusan/ Foto AFP

SEOSAN, 17 Julai - Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban dan lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan selepas hujan lebat melanda beberapa kawasan di Korea Selatan pada Khamis.

Menurut Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan, kesemua mangsa yang maut adalah dari wilayah Chungcheong Selatan.

Polis memaklumkan, seorang mangsa ditemui di dalam kenderaan yang ditenggelami air, seorang warga emas dihanyutkan arus berhampiran sungai, manakala seorang lagi warga emas ditemui maut di sebuah apartmen bawah tanah selepas dilaporkan hilang.

Menurut agensi kaji cuaca, kawasan barat Seosan dilaporkan mencatat kadar hujan tertinggi, iaitu 114.9 milimeter sejam merupakan kejadian luar biasa yang berlaku hanya sekali dalam 100 tahun.

Beberapa kawasan di wilayah Chungcheong Selatan turut merekodkan jumlah hujan tertinggi dalam tempoh satu jam.

Rakaman disiarkan stesen penyiaran tempatan menunjukkan banjir besar melanda kawasan Seosan, dengan air menenggelami pasar, kawasan perumahan dan kenderaan yang diparkir.

Di daerah Hongseong, pihak berkuasa mengeluarkan arahan pemindahan segera selepas paras air sungai berhampiran meningkat secara mendadak.

Beberapa sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak turut diarahkan tutup sebagai langkah berjaga-jaga. -AFP

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI