fb fb fb fb fb

Jepun sedia hadap hujan lebat susulan Taufan Mawar

(Pulau Okinawa)

TOKYO, 2 Jun - Jepun bersiap sedia menghadapi hujan lebat hari ini susulan Taufan Mawar yang membawa angin dan hujan lebat yang semakin menghampiri ke kawasan pulau-pulau utama.

Taufan Mawar yang mengakibatkan bencana di Guam awal minggu lalu, melemah menjadi ribut tropika dan bahagian utama ribut itu dijangka melepasi selatan pulau utama Honshu ketika ia bergerak ke Pasifik.

Bagaimanapun, peramal memberi amaran terdapat amaran tahap bahaya bahawa udara lembap dari taufan boleh memasuki kawasan hujan bermusim, sehingga menyebabkan hujan lebat.

Corak cuaca yang sama juga menyebabkan banjir dan tanah runtuh pada musim panas tahun 2018 apabila lebih 200 orang terbunuh di barat Jepun.

Agensi Meteorologi Jepun juga mengeluarkan amaran banjir untuk rantaian pulau Okinawa dan sebahagian pulau Shikoku dan Honshu dalam tempoh 24 jam sehingga pagi esok.

Meskipun beberapa penerbangan ke kawasan Okinawa telah dibatalkan, setakat pagi tadi, tiada laporan lain dikeluarkan mengenai gangguan besar atau perintah pemindahan. - REUTERS

Media Baharu