(Orang ramai berdoa di hadapan cenotaph untuk mangsa pengeboman atom 1945, pada ulang tahun
pengeboman atom pertama di dunia, di Peace Memorial Park di Hiroshima, barat Jepun/ REUTERS)
TOKYO, 6 Ogos- Jepun hari ini memperingati ulang tahun ke-78 peristiwa pengeboman atom ke atas Hiroshima oleh Amerika Syarikat (AS) pada 1945, di mana Datuk Bandarnya menggesa supaya senjata nuklear dihapuskan.
Mei lalu, Hiroshima menjadi tumpuan di mana Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menjadi hos Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di bandar barat itu yang juga kawasan pilihan raya beliau.
Pemimpin G7 mengeluarkan kenyataan menzahirkan komitmen mereka untuk mencapai pelucutan senjata tetapi menekankan selagi senjata nuklear wujud, ia harus berfungsi menghalang pencerobohan dan mencegah peperangan.
Hari ini, 'loceng keamanan' berdentang tepat pada jam 8.15 pagi - waktu bom atom digugurkan ke atas Hiroshima pada 6 Ogos 1945, iaitu yang pertama di dunia.
Kira-kira 50,000 orang menghadiri upacara peringatan berlangsung di kawasan terbuka itu, termasuk warga emas yang merupakan mangsa terselamat dalam peristiwa dahsyat itu.
Peserta meluangkan masa untuk bertafakur meskipun dalam keadaan cuaca panas mencecah suhu 30 darjah Celsius.
"Pemimpin di seluruh dunia mesti berdepan realiti bahawa ancaman nuklear kini disuarakan oleh sesetengah penggubal dasar, sekali gus mendedahkan 'kebodohan' teori pencegahan nuklear," kata Datuk Bandar Hiroshima, Kazumi Matsui ketika berucap pada upacara itu yang turut dihadiri Kishida.
Sementara itu, Kishida pula menyifatkan jalan ke arah dunia tanpa senjata nuklear kini dilihat semakin sukar.
Antaranya disebabkan ancaman nuklear oleh Rusia susulan peperangan di Ukraine.
Justeru, beliau menegaskan adalah penting untuk mengembalikan momentum antarabangsa ke arah matlamat berkenaan.
(Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida bercakap di Taman Peringatan Keamanan semasa Sidang
Kemuncak G7 Hiroshima di Hiroshima, Jepun, 21 Mei 2023/ REUTERS)
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres turut menzahirkan sokongannya berhubung perkara itu.
"Pemimpin dunia telah melawat bandar ini, melihat monumennya, bercakap dengan mangsa terselamat yang berani, dan tampil tanpa gentar untuk memperjuangkan pelucutan senjata nuklear.
"Lebih ramai lagi harus berbuat sedemikian, kerana gendang perang nuklear sedang dipalu semula," katanya dalam kenyataan dibacakan oleh seorang perwakilan PBB.
Bom atom bergelar 'Little Boy' yang digugurkan ke atas Hiroshima telah meragut beribu-ribu nyawa dengan serta-merta, dan mengakibatkan kematian kira-kira 140,000 mangsa lagi menjelang akhir tahun kejadian itu.
AS melancarkan serangan atom seterusnya ke atas Nagasaki pada 9 Ogos 1945, tiga hari selepas pengeboman Hiroshima . -REUTERS