fb fb fb fb fb

Jepun berkabung atas kematian Abe

KASHIHARA, 9 Julai- Jepun berkabung atas kematian bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe yang maut dalam insiden tembakan semalam.

Mayatnya sedang dipindahkan ke Tokyo dari bandar barat tempat beliau ditembak.

Sebelum pukul 6.00 pagi, kenderaan yang membawa isteri Abe, Akie dan mayat bekas Perdana Menteri itu meninggalkan hospital tempat mendiang dirawat.

Doktor di hospital Universiti Perubatan Nara berkata, Abe meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak.

Mereka memaklumkan terdapat pelbagai luka di leher bekas Perdana Menteri itu, dengan kecederaan dalaman mencecah sehingga jantungnya.

(Petugas media berkumpul di kawasan perumahan Abe di Tokyo / Foto AFP)

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menyifatkan pembunuhan berkenaan sebagai 'perbuatan biadab' yang 'tidak boleh dimaafkan'.

Beliau jelas beremosi selepas kematian bekas pemimpin itu disahkan, menyatakan dirinya 'hilang kata-kata'.

Pembunuhan ahli politik terkenal Jepun itu menggemparkan negara dan mencetuskan gelombang kejutan di seluruh dunia.

Ia memandangkan Jepun mempunyai kadar jenayah rendah dan undang-undang senjata api yang ketat.

Suspek lelaki yang didakwa menembak Abe berada dalam tahanan dan polis memaklumkan dia telah mengaku membunuh bekas Perdana Menteri itu, bermotifkan kepercayaan Abe dikaitkan dengan kumpulan yang tidak dinyatakan.

Polis sedang menyiasat latar belakang penganggur berusia 41 tahun tersebut, termasuk dakwaan dia pernah berkhidmat dalam Angkatan Pertahanan Diri Maritim, Tentera Laut Jepun dan penggunaan senjata api yang didakwa buatan tangan.

Media Baharu