TOKYO/SEOUL, 1 September- Jepun dan Korea Selatan mencatatkan suhu musim panas paling tinggi dalam sejarah tahun ini, menurut agensi kaji cuaca kedua-dua negara pada Isnin.
Suhu dunia dilapor meningkat secara mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan, ekoran perubahan iklim yang semakin mencetuskan pola cuaca tidak menentu.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memaklumkan purata suhu antara Jun hingga Ogos meningkat 2.36 darjah Celsius berbanding paras piawai, sekali gus mencatatkan musim panas terpanas sejak rekod bermula pada 1898.
Selain itu, ia juga merupakan tahun ketiga berturut-turut Jepun merekodkan suhu musim panas paling tinggi.
Di Korea Selatan, Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) menyatakan purata suhu pada tempoh sama adalah 25.7 darjah Celsius iaitu yang tertinggi sejak data mula direkodkan pada 1973.
Rekod sebelumnya dicatatkan pada tahun lalu dengan 25.6 darjah Celsius.
Menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana, gelombang haba di Jepun mengakibatkan 84,521 orang dimasukkan ke hospital dari 1 Mei hingga 24 Ogos, sedikit meningkat berbanding 83,414 kes pada tempoh sama tahun lalu.
Fenomena itu turut memberi kesan kepada alam sekitar, termasuk pokok sakura yang semakin awal berbunga atau gagal berkembang sepenuhnya, serta puncak salji Gunung Fuji yang muncul lewat sehingga November tahun lalu, iaitu tempoh paling lama direkodkan.
Sementara itu, Korea Selatan turut berdepan kemarau berpanjangan di bandar pantai timur Gangneung, sehingga kerajaan mengisytiharkan darurat bencana negara.
Paras air di empangan Obong, sumber utama bekalan air bandar itu, jatuh di bawah 15 peratus memaksa pihak berkuasa melaksanakan sekatan air termasuk menutup 75 peratus meter rumah penduduk.
Saintis menegaskan gelombang haba semakin kerap dan ekstrem akibat perubahan iklim yang berpunca daripada aktiviti manusia.
Menurut data Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), Eropah merekodkan kadar pemanasan paling cepat setiap dekad sejak 1990, diikuti Asia.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu turut memberi amaran bahawa peningkatan suhu global semakin menjejaskan kesihatan pekerja, selain menurunkan produktiviti sebanyak dua hingga tiga peratus bagi setiap kenaikan satu darjah melebihi 20 darjah Celsius. -AFP