fb fb fb fb fb

Jeneral Tentera Rusia maut dalam serangan Ukraine

Gudkov dilaporkan terkorban dalam serangan peluru berpandu Ukraine di wilayah Kursk./REUTERS

VLADIVOSTOK, 4 Julai – Penduduk di Vladivostok, Rusia hari ini berkabung dan meletakkan bunga di sebuah tugu peringatan sementara bagi menghormati kematian seorang pegawai kanan tentera.

Pegawai terbabit, Mejar Jeneral Mikhail Gudkov dilaporkan terkorban dalam serangan peluru berpandu Ukraine di wilayah Kursk.

Kematian Gudkov yang juga Timbalan Ketua Tentera Laut Rusia dan mengetuai sebuah briged dalam peperangan menentang Ukraine disahkan oleh Kementerian Pertahanan Rusia.

Menurut saluran Telegram tentera tidak rasmi dari Rusia dan Ukraine, Gudkov dan 10 anggota tentera lain terbunuh dalam serangan ke atas pos komando tentera Rusia di Korenevo, Kursk, berhampiran sempadan Ukraine.

Gudkov tersenarai sebagai salah seorang pegawai tertinggi Rusia yang maut sejak pencerobohan skala penuh ke atas Ukraine dilancarkan oleh Moscow pada tahun 2022.

Beliau disifatkan sebagai seorang pegawai berdedikasi dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN