RAMALLAH 19 Ogos - Sebuah jawatankuasa sementara Palestin akan mentadbir Gaza selepas gencatan senjata dicapai.
Demikian menurut Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa sewaktu bercakap pada sidang media bersama Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty di sempadan Rafah.
“Jawatankuasa Pengurusan Gaza yang akan diumumkan tidak lama lagi merupakan jawatankuasa sementara di bawah kuasa Kerajaan Palestin.
“Gaza adalah sebahagian daripada negara kami, dan kerajaan kami adalah satu-satunya badan eksekutif yang diberi kuasa untuk mengurus urusannya,” katanya.
Jelas Mustafa, Pihak Berkuasa Palestin sedang bekerjasama dengan Mesir untuk menganjurkan satu persidangan bagi pembinaan semula Gaza secepat mungkin.
Katanya, penutupan sempadan Rafah oleh Israel bagi menghalang kemasukan trak bantuan ke Gaza adalah mesej kepada dunia bahawa Israel sedang membiarkan rakyat Palestin kebuluran untuk memaksa mereka berpindah.