fb fb fb fb fb

Elak sentuh warga asing kurangkan risiko cacar monyet - Pegawai kanan kesihatan China

BEIJING, 19 September - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sentuhan fizikal dengan warga asing bagi mengelakkan kemungkinan jangkitan cacar monyet, kata seorang pegawai kanan kesihatan China.

Ahli epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Wu Zunyou menerusi catatan di halaman Weibo rasminya berkata, langkah itu sebagai pencegahan daripada jangkitan terus menular.

"Untuk mencegah kemungkinan terkena jangkitan cacar monyet dan sebagai sebahagian daripada gaya hidup kita, adalah disyorkan individu tidak melakukan sentuhan kulit ke kulit secara langsung dengan warga asing," katanya.

Zunyou juga menyeru orang ramai mengelak 'sentuhan kulit ke kulit' dengan individu yang berada di luar negara dalam tempoh tiga minggu lalu serta semua 'warga asing' sambil memberi amaran untuk berjaga-jaga.

"Adalah perlu dan sangat penting untuk mengukuhkan pengawasan dan pencegahan wabak cacar monyet di peringkat nasional," tulisnya.

Catatannya itu dikongsi secara meluas di media sosial, namun telah dipadamkan semalam.

Pada Jumaat lalu, kes pertama virus cacar monyet dilaporkan di negara tanah besar itu membabitkan seorang individu yang tiba dari luar negara.

Bagaimanapun risiko penularan adalah rendah kerana individu terbabit dikuarantin sebaik sahaja tiba di Chongqing. -REUTERS

Media Baharu