BEIJING, 20 Julai- Seramai sebelas orang terbunuh dan lebih 30 orang masih hilang selepas sebuah jambatan di utara China runtuh ketika hujan lebat, lapor penyiar kerajaan China Central Television (CCTV).
Jambatan di Sungai di Shangluo wilayah Shaanxi runtuh kira-kira pukul 8:40 malam pada Jumaat (1240 GMT) disebabkan hujan lebat secara tiba-tiba dan banjir kilat, kata agensi berita rasmi Xinhua, memetik Jabatan Perhubungan Awam Wilayah.
"Hampir 20 kenderaan dan lebih 30 orang masih hilang selepas jambatan itu runtuh ke dalam sungai" lapor CCTV.
"Kesemua 11 mangsa yang disahkan ditemui di dalam lima kenderaan yang setakat ini telah ditemui dalam air, kata penyiar itu.
Sementara itu, imej di televisyen CCTV menunjukkan bahagian jambatan yang sebahagiannya tenggelam.
Sebahagian besar utara dan tengah China telah dilanda hujan sejak Selasa lalu yang menyebabkan banjir dan kerosakan yang ketara.
Semalam, sekurang-kurangnya lima orang maut dan lapan hilang selepas hujan mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di bandar Baoji di Shaanxi.
China sedang mengalami musim panas dengan cuaca ekstrem, dengan hujan lebat merentasi timur dan selatan, ketika sebahagian besar utara mengalami gelombang haba.
Pada Mei lalu, sebuah lebuh raya di selatan China runtuh selepas hujan berterusan selama beberapa hari dan menyebabkan 48 orang maut.
Awal bulan ini, puting beliung melanda bandar di timur China dan menyebabkan seorang maut, 79 orang cedera dan banyak kerosakan.-AFP