BAITULMAQDIS, 6 Mei - Kabinet Israel memutuskan untuk menutup operasi Al Jazeera di Israel semalam.
Organisasi berita berpangkalan di Qatar itu kononnya mengancam keselamatan pihaknya.
Bagaimanapun, Al Jazeera menafikan dakwaan pemimpin negara haram Israel Benjamin Netanyahu dan menyifatkan tuduhan Israel sebagai pembohongan dan tidak masuk akal.
Menteri Komunikasi Israel yang menandatangani arahan untuk 'tindakan segera' bagaimanapun berkata, Al Jazeera masih boleh menghalang keputusan itu di mahkamah.
Rangkaian Al Jazeera sering mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza serta melaporkan berita konflik sepanjang perang Israel-Palestin berlangsung.
Tuduhan itu juga mendakwa Al Jazeera meletakkan wartawannya dalam risiko besar.
"Saluran hasutan Al Jazeera akan ditutup di Israel," kata Netanyahu selepas Kabinet sebulat suara dengan keputusan itu.
Dalam arahan penutupan itu, turut dinyatakan pihak berkuasa Israel boleh merampas peralatan penyiaran, memotong saluran daripada syarikat kabel, satelit dan menyekat laman sesawangnya.
Namun, arahan penutupan itu ia tidak menyebut sama ada ia turut merangkumi operasi Al Jazeera di Gaza.
Bagaimanapun, pejabat media antarabangsa Qatar tidak memberikan maklum balas segera berhubung keputusan Israel.
Bulan lalu, Kabinet Israel meluluskan undang-undang yang membenarkan penutupan sementara syarikat asing di Israel.
Israel kononnya menganggap syarikat itu boleh mengancam keselamatan pihaknya.
Dengan keputusan itu, operasi Al Jazeera yang dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeri boleh diberhentikan bagi tempoh awal selama 45 hari sehingga akhir Julai atau sehingga tamat operasi ketenteraan di Gaza yang belum diketahui lagi. - REUTERS