fb fb fb fb fb

Israel terus serang Gaza, sasar semua tempat

Foto WAFA

GAZA, 18 Mac- Sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di sebuah rumah di kem pelarian Nusseirat, tengah Gaza, malam tadi.

Memetik agensi berita Palestin (WAFA), sumber perubatan berkata dalam pengeboman itu, beberapa orang awam turut mengalami kecederaan.

Pada masa sama, puluhan orang awam turut cedera akibat tembakan tentera Israel di dalam Kompleks Perubatan Al-Shifa di barat Kota Gaza.

Israel telah mengepung ratusan orang awam, pesakit, pasukan perubatan dan wartawan di dalam kompleks perubatan itu.

Pesawat Israel turut menyasarkan sebuah rumah milik keluarga Felfel di kawasan kejiranan Tel Al-Hawa, barat daya Gaza.

Rejim zionis juga membedil kawasan tengah dan barat bandar Khan Yunis, selatan Gaza.

Selain itu, penjajah berkenaan turut melepaskan tembakan ke arah kem pelarian Al-Shati, barat Gaza.

Pencerobohan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu telah mengakibatkan 31,645 rakyat Palestin terkorban, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita dengan 73,676 orang lagi mengalami kecederaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM