BEIRUT, 7 November- Israel melancarkan serangan ke atas selatan Beirut pada Khamis kira-kira sejam selepas tentera Zionis menggesa penduduk kawasan kubu kuat Hizbullah itu untuk meninggalkan kawasan tersebut, termasuk kawasan berhampiran lapangan terbang antarabangsa Lubnan.
Rakaman AFP menunjukkan beberapa kepulan asap naik di atas Beirut Selatan, dan wartawan AFP di ibu kota Lebanon turut mendengar letupan kuat.
Sebelum itu, jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, telah meminta penduduk di empat kawasan selatan Beirut untuk berpindah, serta memuat naik peta di media sosial yang merangkumi kawasan berhampiran lapangan terbang Beirut.
Pada Rabu, sembilan serangan Israel dilancarkan ke atas Beirut Selatan, menurut media kerajaan Lebanon, menyasarkan apa yang dikatakan tentera Israel sebagai infrastruktur Hizbullah, termasuk pusat arahan dan depot senjata.
Hizbullah mula melancarkan serangan lintas sempadan intensiti rendah ke atas Israel sebagai sokongan kepada sekutunya di Palestin, Hamas, selepas serangan pada Oktober tahun lalu.
Lebih setahun pertempuran yang memuncak menjadi perang pada bulan September telah menyebabkan sekurang-kurangnya 3,050 kematian di Lubnan, menurut angka daripada kementerian kesihatan.-AFP