fb fb fb fb fb

Israel serang sekolah, 19 terbunuh termasuk wanita hamil

Foto AFP

GAZA, 21 September- Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam serangan Israel terhadap sebuah yang dijadikan tempat perlindungan di Gaza hari ini.

Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal berkata mangsa yang terbunuh termasuk 13 kanak-kanak dan enam wanita.

"Salah seorang daripada mangsa terbunuh adalah wanita hamil.

"Kira-kira 30 orang cedera, termasuk sembilan kanak-kanak (yang memerlukan) amputasi anggota badan, akibat pengeboman Israel di Sekolah Al-Zaytoun C, Gaza.

"Ribuan orang yang kehilangan tempat tinggal telah mencari perlindungan di sekolah itu," katanya kepada wartawan AFP di sini.

Seorang wartawan AFP di tempat kejadian mengesahkan bahawa Sekolah Al-Zaytoun C telah diserang.

Saksi berkata bahawa sebelum serangan itu, anak-anak yatim berkumpul di tempat kejadian kerana mereka dijadualkan menerima tajaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk bantuan kemanusiaan.

Serangan ke atas Sekolah Al-Jawni yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di tengah Gaza pada 11 September mencetuskan kecaman antarabangsa selepas PBB mendakwa enam kakitangannya antara 18 mangsa yang dilaporkan terkorban.

Kebanyakan daripada 2.4 juta penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal sekurang-kurangnya sekali akibat konflik Israel-Hamas yang berterusan sejak 7 Oktober lalu.

Sekurang-kurangnya 41,391 penduduk Palestin, kebanyakannya orang awam, telah terbunuh dalam serangan berterusan Israel sejak konflik berkenaan bermula, menurut data yang diberikan oleh kementerian kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM