HODEIDA, 17 September- Israel mengesahkan telah menyerang pelabuhan Hodeida di Yaman dengan menyasarkan tapak infrastruktur yang didakwa digunakan oleh Kumpulan Huthi.
Televisyen Al-Masirah milik Huthi turut mengesahkan terdapat 12 serangan udara musuh Israel menyasarkan pelabuhan berkenaan.
Berikutan itu, Jurucakap Tentera, Yahya Saree berkata, pertahanan udara Huthi sedang berhadapan dengan pesawat musuh Israel yang melancarkan pencerobohan terhadap negara mereka.
Terdahulu, jurucakap tentera Israel berbahasa Arab, Avichay Adraee, telah memberi amaran mengenai serangan berkenaan.
Beliau menggesa semua orang di pelabuhan Hodeida dan kapal yang berlabuh untuk berpindah.
Bulan lalu, Rejim Zionis telah meningkatkan serangan ke atas Huthi, membunuh perdana menteri dan hampir separuh daripada menteri kabinetnya.
Israel juga menyasarkan operasi media tentera Huthi menyebabkan berpuluh-puluh orang maut dalam serangan pada minggu lalu.
Tel Aviv turut menuduh kumpulan itu menggunakan pelabuhan "untuk pemindahan senjata yang dibekalkan oleh Iran, untuk melaksanakan serangan terhadap Israel dan sekutunya". -AFP