fb fb fb fb fb

Israel ratakan kem Jenin, ulangi taktik pemusnahan Gaza

Foto AFP

JENIN, 26 Februari- Jentolak Israel telah meratakan kawasan di kem pelarian Jenin, menggunakan taktik yang sama seperti di Gaza, sementara tentera bersiap sedia untuk pendudukan jangka panjang.

Jurucakap majlis perbandaran Jenin, Basheer Matahen berkata sekurang-kurangnya 40,000 rakyat Palestin telah meninggalkan kediaman mereka di Jenin dan bandar berdekatan, Tulkarm, utara Tebing Barat sejak Israel memulakan operasinya.

Operasi Israel tersebut dimulakan hanya sehari selepas mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza.

"Kem Jenin mengalami nasib yang sama seperti yang berlaku di Jabalia. Kem ini kini tidak lagi boleh didiami.

"Sekurang-kurangnya 12 jentolak sedang merobohkan rumah dan infrastruktur di kem itu," katanya kepada REUTERS.

Pasukan kejuruteraan tentera Israel dilihat membuat persiapan untuk menduduki kawasan berkenaan dalam jangka masa panjang dengan membawa tangki air dan penjana elektrik ke kawasan berkenaan.

Rakyat Palestin melihat tindakan itu sebagai usaha besar-besaran untuk memaksa penduduk keluar secara kekal dengan memusnahkan kediaman berkenaan.

"Mereka (Israel) mahu menghapuskan nama dan ingatan tentang kem ini,” kata Hassan al-Katib, 85 tahun, yang tinggal di kem Jenin bersama 20 anak dan cucu-cucunya sebelum terpaksa meninggalkan kem tersebut.

Israel juga giat melemahkan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat, agensi bantuan utama Palestin, dengan mengharamkan operasinya di Baitulmaqdis Timur dan mengarahkan ia menghentikan operasi di Jenin.

"Kami tidak tahu apa niat sebenar Israel. Apa yang kami tahu, ramai penduduk telah dipaksa keluar dari kem ini.

"Status pelarian rakyat Palestin tetap tidak berubah, tidak kira di mana mereka berada," kata jurucakap UNRWA, Juliette Touma.- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM