KAHERAH, 28 Oktober - Kereta kebal Israel terus mara, menceroboh lebih jauh ke dalam dua bandar di utara Gaza dan kem pelarian bersejarah, menyaksikan kira-kira 100,000 orang awam terperangkap tanpa bekalan perubatan atau makanan.
Demikian menurut kenyataan perkhidmatan kecemasan awam dan kesihatan Palestin.
Tentera rejim Zionis dengan angkuh menyatakan serbuan dan serangan ke atas hospital Kamal Adwan di kem Jabalia itu dilakukan sebagai operasi untuk menghalang Hamas daripada berkumpul semula, dan menahan kira-kira 100 anggotanya.
Bagaimanapun Hamas dan pegawai perubatan menafikan kehadiran kumpulan pejuang di hospital tersebut.
Kementerian Kesihatan Gaza dalam pada itu memaklumkan, sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh berikutan serangan udara dan pengeboman Israel pada Isnin, dengan 13 daripadanya terkorban di wilayah utara.-REUTERS