fb fb fb fb fb

Israel lancar serangan udara baharu di pinggir selatan Beirut

Foto AFP

BEIRUT, 16 November – Serangan udara baharu dilancarkan di pinggir selatan ibu kota Lubnan, Beirut, hari ini, selepas tentera Israel mengeluarkan arahan kepada penduduk untuk mengosongkan kawasan tersebut.

Sejak Selasa, Israel telah melaksanakan beberapa serangan udara di kawasan selatan Beirut, yang merupakan kubu kuat Hizbollah.

Rakaman video AFPTV menunjukkan tiga gelombang asap menjulang dari bangunan-bangunan di kawasan tersebut pada waktu pagi, dan satu lagi sekitar tengah hari.

Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, melalui kenyataan di platform X, telah menggesa penduduk kawasan Haret Hreik untuk segera mengosongkan kawasan itu.

"Anda berada berhampiran kemudahan dan kepentingan milik Hizbollah, yang mana tentera Israel akan bertindak dengan kekuatan dalam masa terdekat," kata Adraee sambil menyatakan bahawa penduduk harus berpindah sekurang-kurangnya 500 meter dari kawasan tersebut.

Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan serangan udara itu termasuk satu berhampiran Haret Hreik, telah memusnahkan beberapa bangunan dan menyebabkan kerosakan.

NNA juga melaporkan serangan berasingan di kawasan Chiyah.

Serangan udara yang berterusan oleh Israel di selatan Beirut telah menyebabkan banyak penduduk melarikan diri, walaupun sebahagian mereka kembali pada waktu siang untuk memeriksa rumah dan perniagaan mereka.

Selain itu, serangan serupa dilaporkan di selatan Lubnan malam tadi dan awal pagi ini.

Hizbollah turut mendakwa telah melancarkan dua serangan roket yang menyasarkan markas batalion infantri di utara Israel.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN