JENIN, 25 Januari- Tentera Israel mengepung sebuah rumah di bandar Silat al-Harithiya, barat bandar Jenin di Tebing Barat, pada Jumaat.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), sumber berkata, satu konvoi kenderaan tentera Israel menyerbu bandar tersebut sebelum mengarahkan penghuni berkenaan untuk keluar.
"Israel mengepung sebuah rumah dan mengarahkan penghuni untuk keluar melalui pembesar suara.
"Sebelum itu, tentera Israel membunuh dua rakyat Palestin dalam serangan udara di Qabatiya, selatan Jenin," lapor WAFA.
Terdahulu, Israel melancarkan serbuan besar-besaran di bandar Jenin dan kem pelarian selama empat hari berturut-turut, mengakibatkan 14 rakyat Palestin terbunuh serta memaksa 1,800 penduduk Palestin meninggalkan kem pelarian tersebut.
Kejadian itu berlaku selepas tentera Israel memperketatkan langkah ketenteraan di seluruh Tebing Barat, beberapa jam selepas pembebasan 90 tahanan Palestin sebagai sebahagian daripada pelaksanaan gencatan senjata Gaza.