GAZA,18 Februari- Israel telah menyerang tingkat tiga, Hospital Al-Amal di Khan Yunis, selatan Gaza dengan tembakan meriam, hari ini.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA),Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata ia menyebabkan persekitaran dan bangunan Hospital Al-Amal mengalami kerosakan.
Hospital Al-Amal yang berkolaborasi dengan Bulan Sabit Merah terus diserang Israel selama beberapa minggu; mengakibatkan pembunuhan puluhan orang awam, termasuk pesakit dan individu yang dipindahkan.
Menurut persatuan itu, Israel yang meneruskan pengepungan ke atas hospital berkenaan turut menghalang kemasukan makanan, bekalan perubatan dan bahan api ke hospital.
"Tujuh kakitangan Bulan Sabit Merah Palestin juga telah ditahan dalam serbuan tentera Israel ke hospital sembilan hari lalu dan masih dalam tahanan Israel sehingga kini," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, perkhidmatan telekomunikasi, termasuk talian tetap, telefon mudah alih dan perkhidmatan internet, telah terputus selama 34 hari berturut-turut di wilayah Khan Yunis, yang membawa kegagalan komunikasi antara pasukan Bulan Sabit Merah.