ANKARA, 20 Julai - Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) sekali lagi mendakwa pihak berkuasa Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata perang terhadap penduduk awam Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menerusi kenyataan di platform X pada Ahad, UNRWA berkata: “Pihak berkuasa Israel sedang membuat penduduk awam di Gaza kebuluran. Termasuk dalam kalangan mereka adalah sejuta kanak-kanak.”
Agensi itu mengulangi gesaan mendesak supaya sekatan Israel dihentikan serta-merta, dengan menyeru: “Akhiri sekatan: benarkan UNRWA membawa masuk makanan dan ubat-ubatan.”
Meskipun terdapat kewajipan undang-undang antarabangsa untuk melindungi orang awam dan membenarkan penghantaran bantuan, Israel terus mengenakan sekatan menyeluruh ke atas Gaza sejak 2 Mac, termasuk mengebom konvoi bantuan, menyekat lintasan sempadan, dan menyasarkan lokasi pengagihan bantuan — tindakan yang dikecam secara meluas sebagai hukuman kolektif dan berpotensi menjadi jenayah perang.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, puluhan kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kebuluran dan penyahhidratan, manakala ratusan ribu lagi berhadapan risiko tinggi susulan krisis kekurangan makanan yang bertambah buruk dan lumpuhnya sistem penjagaan kesihatan.
Pada Sabtu sahaja, serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 136 penduduk Palestin, termasuk 38 individu yang sedang menunggu bantuan serta tiga kanak-kanak yang meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan yang teruk, menurut sumber rasmi Palestin. -BERNAMA-ANADOLU