fb fb fb fb fb

Israel bunuh remaja Palestin

FOTO REUTERS

NABLUS, 6 Januari- Kementerian Kesihatan Palestin di Tebing Barat memaklumkan pasukan Israel telah membunuh seorang remaja semasa serbuan di sebuah kem pelarian berhampiran bandar Nablus pada Ahad.

Mutaz Ahmad Abdul Wahab Madani, 17, "terbunuh dan dua lagi cedera akibat tembakan pasukan penjajah semasa serbuan berhampiran Kem Askar di timur Nablus," kata kementerian yang berpusat di Ramallah dalam satu kenyataan.

Tentera Israel bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa, melaporkan bahawa Madani terkena tembakan apabila pasukan Israel melepaskan peluru, suar, dan gas pemedih mata.

Pasukan perubatan melaporkan bahawa Madani telah ditembak di bahagian dada dan pada awalnya pasukan Israel menahan beliau sebelum menyerahkannya kepada pasukan perubatan Palestin.

Beliau kemudiannya dibawa ke hospital Rafidia dalam keadaan kritikal tetapi meninggal dunia akibat kecederaannya, menurut seorang petugas perubatan.

Keganasan di Tebing Barat semakin meningkat sejak perang tercetus di Semenanjung Gaza selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Sejak itu, sekurang-kurangnya 818 rakyat Palestin telah terbunuh di wilayah tersebut akibat tindakan tentera atau peneroka Israel, menurut kementerian kesihatan.

Dalam tempoh yang sama, serangan Palestin di Tebing Barat telah mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang Israel, menurut angka rasmi Israel.

Israel telah menjajah Tebing Barat sejak menaklukinya dalam perang Arab-Israel 1967.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE