BEIRUT, 3 Januari- Israel membedil kedudukan tentera Syria di selatan Aleppo pada Khamis, serangan terkini sejak kejatuhan Bashar al-Assad.
Penduduk melaporkan mendengar letupan besar di kawasan itu, manakala Syrian Observatory for Human Rights menyatakan serangan tersebut menyasarkan kemudahan pertahanan dan penyelidikan.
Pertubuhan itu berkata, sekurang-kurangnya tujuh letupan besar didengari, hasil daripada serangan udara Israel ke atas kilang pertahanan di selatan Aleppo.
Tiada maklumat terkini diterima sama ada serangan itu menyebabkan kematian atau kecederaan.
Seorang penduduk dari kawasan al-Safira memberitahu AFP, "Mereka (tentera Israel) menyerang kilang pertahanan, lima serangan. Serangannya sangat kuat. Tanah bergegar, pintu dan tingkap terbuka, ia merupakan serangan paling kuat yang pernah saya dengar, malam menjadi seperti siang."
Sejak pemberontak menggulingkan Assad pada awal Disember, Israel telah melakukan ratusan serangan ke atas aset ketenteraan Syria, dengan alasan untuk menghalang senjata ketenteraan jatuh ke tangan musuh.-AFP