fb fb fb fb fb

Dua polis cedera terkena letupan di pagar balai

FOTO REUTERS

BERLIN, 3 Januari- Dua anggota polis cedera, seorang daripadanya parah, dalam letupan yang berlaku pada malam Khamis di luar sebuah bangunan polis di Berlin.

Anggota tersebut sedang melakukan rondaan keselamatan rutin apabila satu objek yang tidak dikenali meletup berhampiran pagar bangunan tersebut.

"Pada malam ini, sekitar pukul 8.20 malam, satu insiden keselamatan serius berlaku di pagar sekitar bangunan polis di daerah Wittenau, utara Berlin," kata polis di platform media sosial X.

Seorang anggota mengalami kecederaan pada muka dan mata, manakala seorang lagi mengalami "trauma bunyi". Kedua-duanya telah menerima rawatan perubatan.

Letupan berkenaan berlaku selepas 30 anggota penguatkuasa undang-undang Jerman cedera pada malam tahun baru, termasuk seorang yang parah akibat mercun buatan haram.

Lima orang meninggal dunia di seluruh negara dalam insiden berkaitan mercun kuat yang biasanya digunakan oleh rakyat Jerman untuk menyambut tahun baru.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE