BAITULMAQDIS, 19 Februari- Israel memberi ancaman bahawa tenteranya akan menyerang bandar Rafah menjelang Ramadan sekiranya tebusan yang ditahan oleh pejuang Hamas tidak dibebaskan, kata Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz.
Dalam persidangan di Baitulmaqdis pada Ahad, Gantz berkata tujuan Israel sangat jelas dan pihak Hamas mempunyai pilihan.
"Dunia mesti tahu, dan pemimpin Hamas mesti tahu, jika menjelang Ramadan tebusan kita tidak dibebaskan maka pertempuran akan berterusan di mana-mana, termasuk di Rafah.
"Saya katakan ini dengan jelas, Hamas mempunyai pilihan. Mereka boleh menyerah diri, membebaskan tebusan dan melalui cara ini rakyat Gaza boleh menyambut Ramadan," katanya.
Ramadan, bulan paling suci dalam kalendar Islam, dijangka bermula pada 10 Mac.
Kerajaan Israel sebelum ini tidak menyatakan tarikh akhir untuk melancarkan serangan darat di Rafah yang menempatkan lebih 1.4 juta penduduk yang mencari perlindungan daripada perang.
Penduduk Palestin mencari perlindungan di Rafah ketika Israel menggempur seluruh enklaf itu sejak 7 Oktober.
Pengeboman Israel sudah membunuh hampir 29,000 mangsa dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
Di sebalik tekanan antarabangsa yang semakin meningkat, termasuk rayuan langsung daripada Presiden AS, Joe Biden, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan perang tidak boleh diselesaikan tanpa 'menekan' Rafah.
Netanyahu memperbaharui ikrarnya "untuk mendapatkan kemenangan penuh" ke atas Hamas, dengan atau tanpa perjanjian tebusan.
Hamas dipercayai menahan lebih 130 tebusan Israel susulan serangan rentas sempadannya, yang menurut Tel Aviv membunuh hampir 1,200 orang.
Israel berkata ramai tebusan itu serta kepimpinan Hamas, bersembunyi di Rafah.
Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza susulan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang di Israel, kebanyakannya orang awam.
Manakala dalam serangan balas Israel pula, sekurang-kurangnya 28,858 orang maut setakat ini kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.- AFP