BAGHDAD, 25 Mei - Iraq kini berdepan krisis air terburuk dalam tempoh 80 tahun.
Jurucakap Kementerian Sumber Air Iraq, Khaled Shamal memaklumkan, hal tersebut susulan musim hujan yang tidak menentu serta situasi kering dan aliran air yang kian merosot dari sungai Tigris dan Euphrates.
“Musim panas sepatutnya bermula dengan sekurang-kurangnya 18 bilion meter padu air, namun kita kini hanya mempunyai kira-kira 10 bilion meter padu.” katanya.
Keadaan itu disifatkan sebagai cabaran besar dalam krisis alam sekitar negara itu dengan populasi seramai 46 juta orang.
Situasi ini diburukkan lagi oleh pembinaan empangan di hulu sungai oleh negara jiran, Iran dan Turki, yang telah menyebabkan aliran air ke Iraq menurun secara drastik.
Kekurangan air telah memaksa ramai petani meninggalkan tanah pertanian mereka. Pihak berkuasa turut mengehadkan aktiviti pertanian secara drastik demi memastikan bekalan air minum mencukupi untuk rakyat. - AFP