fb fb fb fb fb

Densus 88 tahan remaja sebar propaganda ekstremis

Foto AFP

JAKARTA, 25 Mei - Unit elit antikeganasan Indonesia, Densus 88 menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di wilayah Sulawesi Selatan atas dakwaan menyebarkan propaganda ekstremis dan menghasut keganasan secara dalam talian, menurut polis pada Ahad.

Suspek, yang hanya dikenali dengan inisial MAS, ditahan pada 5.20 petang waktu tempatan Sabtu di daerah Gowa, menurut Pejabat Dokumentasi dan Maklumat Densus 88.

“MAS dikesan aktif dalam saluran komunikasi digital yang menyebarkan kandungan berkaitan ideologi ISIS (Daesh), termasuk seruan untuk melakukan pengeboman di rumah-rumah ibadat,” kata Penolong Komisioner Mayndra Eka Wardhana dalam satu kenyataan.

Menurut Mayndra, remaja itu didakwa mengendalikan satu kumpulan WhatsApp yang dinamakan “Daulah Islamiah” sejak Disember 2024 dan berkongsi imej, video, rakaman suara serta tulisan yang mempromosikan kumpulan pengganas itu.

Kumpulan WhatsApp itu juga dilaporkan menjadi medan perbincangan bagi mempertahankan tindakan pengeboman bunuh diri dalam konteks peperangan, sejajar dengan fahaman ekstremis Daesh.

“Nombor telefon yang digunakan oleh MAS dikenal pasti sebagai pentadbir utama kumpulan itu,” katanya.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek untuk aktiviti dalam taliannya, dan MAS kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Densus 88 menegaskan komitmen untuk terus membanteras rangkaian pengganas, termasuk mereka yang menggunakan platform digital dan menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada serta melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan. -BERNAMA

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN