fb fb fb fb fb

Iran nafi rancang bunuh Donald Trump

Masoud Pezeshkian/ Reuters

WASHINGTON, 15 Januari- Presiden Iran Masoud Pezeshkian menafikan dakwaan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Donald Trump bahawa Iran merancang untuk membunuh calon Presiden Amerika Syarikat dari parti republikan itu.

Beliau menegaskan perkara itu ketika ditemu bual dalam wawancara NBC News pada Selasa.

Pada November, Jabatan Kehakiman AS mendakwa seorang lelaki Iran berkomplot dan diarahkan oleh Kor Pengawal Revolusi elit Iran untuk membunuh presiden terpilih AS.

Trump juga mendakwa bahawa Iran mungkin dalam percubaan untuk membunuhnya semasa kempen pilihan raya AS.

"Tiada apa-apa pun," kata Pezeshkian ringkas ketika ditanya sama ada terdapat rancangan Iran untuk membunuh Trump di NBC News. "Kami tidak pernah mencuba perkara itu dan kami tidak akan melakukannya."

Trump, yang memenangi pilihan raya AS tahun lepas akan memegang jawatan pada Isnin, terselamat daripada dua percubaan bunuh.

Satu kejadian berlaku pada September semasa Trump bermain golf di West Palm Beach, Florida dan satu lagi semasa perhimpunan pada Julai di Butler, Pennsylvania .

Bagaimanapun penyiasat tidak menemui bukti penglibatan Iran dalam kedua-duanya cubaan bunuh berkenaan.

Sebelum ini Iran juga menafikan dakwaan AS susulan campur tangan dalam hal ehwal Amerika, termasuk operasi siber.

Namun Tehran berkata Washington telah campur tangan dalam hal ehwal Iran selama beberapa dekad, bermula daripada rampasan kuasa tahun 1953 terhadap Perdana Menteri hingga pembunuhan komander tenteranya pada 2020 dalam serangan dron AS.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI