fb fb fb fb fb

Yoon ditahan atas tuduhan pemberontakan

Pegawai polis dan penyiasat Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi berada di kawasan kediaman rasmi Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol/ Reuters

SEOUL, 15 Januari- Pihak berkuasa Korea Selatan menahan Presiden Yoon Suk Yeol pada Rabu atas tuduhan pemberontakan berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu, kata penyiasat.

Sekumpulan pegawai polis dan penyiasat Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi dilihat meninggalkan pintu pagar kediaman Yoon yang dijadikan sebagai lokasi persembunyian selama berminggu-minggu.

Kediaman berkenaan dilengkapi penghadang kawat berduri dengan kawalan tentera keselamatan peribadi.

Terdahulu, lebih 3,000 pegawai polis dan penyiasat antirasuah berkumpul di kawasan berkenaan pada awal pagi berikutan kediaman Yoon diserbu penyokongnya dan ahli Parti Kuasa Rakyat yang memprotes atas percubaan penahanan presiden itu.

Sementara itu peguam Yoon menyifatkan percubaan menahan Yoon adalah tidak sah dan ia direka untuk memberi gambaran negatif secara terbuka.

Bagaimanapun penyiar berita tempatan melaporkan Yoon mungkin akan ditahan dalam masa terdekat.

Menurut saksi Reuters di tempat kejadian, beberapa pergaduhan kecil berlaku antara penunjuk perasaan pro-Yoon dan polis.

Pengisytiharan undang-undang tentera Yoon memberi kejutan kepada rakyat Korea Selatan sekali gus menyebabkan negara demokrasi di Asia itu ke dalam pergolakan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Berikutan itu penggubal undang-undang mengundi untuk mendakwa Yoon dan memecatnya daripada jawatan presiden pada 14 Disember 2024.

Mahkamah Perlembagaan secara berasingan, sedang berbincang untuk mengekalkan pemecatan itu. -Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI