fb fb fb fb fb

Iran bantah penahanan 'kasar' terhadap pelajarnya di Rusia

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi / FOTO AFP

TEHRAN, 23 November- Iran telah mengemukakan bantahan kepada Moscow berhubung apa yang disifatkan sebagai penahanan secara kasar terhadap pelajar Iran di sebuah universiti di bandar Kazan, Rusia, lapor media rasmi pada Sabtu.

Menurut agensi berita IRNA, dua pelajar Iran yang mengunjungi pusat lanjutan visa di Universiti Persekutuan Kazan pada Jumaat ditahan selepas didakwa dipukul secara tidak berperikemanusiaan dan tidak profesional oleh pihak polis. Kenyataan itu merujuk kepada maklumat daripada konsulat Iran di Kazan.

Sebagai tindak balas, Iran menyerahkan nota bantahan kepada Kementerian Luar Negeri Rusia, mengecam "layanan kasar terhadap pelajar Iran oleh polis", menurut laporan IRNA.

Iran, yang merupakan sekutu rapat Rusia, telah meminta penjelasan berhubung insiden tersebut.

Kedua-dua pelajar itu dibebaskan lewat hari Jumaat selepas campur tangan pihak konsulat.

Perkhidmatan akhbar polis Kazan dalam satu kenyataan di Telegram pada Jumaat berkata bahawa pertengkaran antara pelajar telah bertukar fizikal, dan pegawai telah menahan pencetus pergaduhan tersebut.

Namun, kenyataan itu tidak menyebut kewarganegaraan mereka yang ditahan.

Jawatankuasa Penyiasatan di Kazan pada Jumaat turut melaporkan bahawa dua warga asing ditahan kerana didakwa menggunakan kekerasan terhadap wakil pihak berkuasa.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, memantau perkembangan insiden itu, menurut hantaran di X oleh Kazem Jalali, duta Tehran ke Moscow.

Jalali dalam satu lagi hantaran pada hari Jumaat mengutuk sebarang bentuk salah laku terhadap pelajar Iran dan meminta agar pihak berkuasa Rusia yang bertanggungjawab diambil tindakan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE