TEHRAN, 17 Jun- Iran mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang menyasarkan bangunan ibu pejabat televisyen kebangsaan Iran, Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB) pada Isnin dan menyifatkan ia sebagai jenayah perang.
Iran dalam pada itu turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, (UNSC) untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Menurut jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, serangan itu adalah tindakan jahat Israel dan menggesa UNSC segera bertindak untuk menamatkan pembunuhan secara beramai-ramai daripada terus berlaku.
Sementara itu, menerusi laman X, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pula menegaskan bahawa tentera Iran akan terus melakukan serangan balas ke atas Israel sehingga serangan terhadap negara berkenaan berhenti.
Dalam pada itu, Kor Pengawal Revolusi Islam juga mengutuk serangan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tidak berperikemanusiaan, jenayah dan tindakan pengganas. -AFP