(FOTO HIASAN/ REUTERS)
ISLAMABAD, 2 Jun - Pihak berkuasa Iran melaksanakan hukuman mati terhadap sekurang-kurangnya 173 pesalah yang disabitkan dengan dadah tahun ini, hampir tiga kali ganda berbanding tahun lepas, menurut Amnesty International pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah merangkumi dua pertiga daripada jumlah hukuman mati yang dilaksanakan di Iran dalam tempoh lima bulan pertama 2023, menurut laporan terbaharu Amnesty.
Laporan itu mendapati jumlah pesalah yang dijatuhi hukuman mati bagi semua jenayah turut meningkat dengan ketara, dengan sekurang-kurangnya 282 pesalah menjalani hukuman itu setakat ini pada 2023.
Jumlah itu hampir dua kali ganda berbanding yang direkodkan pada awal Jun tahun lalu.
"Jika pihak berkuasa terus melaksanakan hukuman mati pada kadar yang membimbangkan ini, hampir seribu banduan akan menjalani hukuman mati menjelang akhir tahun ini," Amnesty memberi amaran.
Menurut Amnesty, Iran antara negara paling banyak melaksanakan hukuman mati pada 2022 selepas China. - BERNAMA-dpa
(FOTO FAIL/ REUTERS)